Di antara beberapa faktor penting yang menentukan kejayaan di dalam sesuatu usaha adalah sebagai berikut :
1. Ketepatan waktu
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتۡ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ كِتَـٰبً۬ا مَّوۡقُوتً۬ا
Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (An-Nisaa' 4:103)
Waktu atau masa adalah perkara yang sangat penting di dalam solat. Salah satu dari syarat sah sholat ialah mengerjakannya di dalam waktunya.
Selanjutnya Allah akan memberi bonus tambahan kepada mereka yang mengerjakannya di awal waktu sedangkan barang siapa yang melewatkannya dibenci oleh Allah. Disiplin ini secara otomatik akan mendorong manusia untuk berlumba-lumba menunaikan solat bukan hanya di dalam waktunya bahkan juga di awal waktu.
Di samping itu juga orang yang datang lebih awal ke tempat solat akan mendapat keuntungan berada di saf depan. Allah memberikan ganjaran yang lebih besar bagi mereka yang berada di saf yang lebih depan.
Apabila seseorang itu berjaya menjaga disiplin dalam solat, maka apabila ia terjun ke dalam dunia kehidupan secara otomatik akan dapat mendisiplinkan diri. Di dalam perniagaan umpamanya, ketepatan masa sangat dititik beratkan. Setiap masa yang terbuang bererti semakin banyak kerugian yang terjadi. Setiap detik dibiarkan berlalu artinya kerugian.
Jika solat dapat mendorong manusia untuk berlumba-lumba berada di saf depan, maka jika dilaksanakan dalam kehidupan akan melahirkan manusia yang senantiasa berlumba untuk maju ke depan. Lumrahnya orang yang senantiasa datang lebih awal tentu akan merebut peluang apapun yang ditawarkan.
Solat sepatutnya menjadi asas pengurusan masa umat Islam.
2. Ketepatan janji
قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ
Katakanlah: "Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Al-An'aam 6:162)
Solat adalah satu ibadah di mana manusia membuat dan memperbaharui janji dengan Tuhan setiap kali mengerjakannya. Ini bererti 5 kali sehari manusia memperbaharui janji dan ikrar dengan Tuhan. Janji itu pula tidak hanya dibiarkan menjadi hiasan bibir tetapi untuk ditunaikan dalam kehidupan.
Jika manusia dapat berusaha menunaikan janjinya kepada Tuhan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, maka dengan manusia yang dapat dilihat secara lahir ini tentulah lebih dapat menunaikan janji.
Begitu juga di dalam pekerjaan, perniagaan atau pemerintahan, jika seseorang itu gagal dalam menepati janjinya dengan pelanggan, klien, pelabur atau pekerja maka tentu akan memburukkan imej dan akan menghilangkan keyakinan dan kepercayaan kepada syarikat, jabatan atau negara.
Yang lebih parah lagi, hal itu juga akan menjadi sebab tindakan undang-undang boleh diambil terhadap syarikat atau jabatan kerana kegagalannya menepati janji. Begitulah pentingnya faktor janji di dalam kehidupan. Bagi orang yang sudah biasa mendisiplinkan dirinya dengan janji di dalam solat, maka hal itu akan mendorongnya untuk menepati janji di luar solat.
3. Jujur dan amanah
Insan yang jujur dan amanah adalah aset yang sangat mahal di dalam sebuah masyarakat. Solat adalah ibadah yang sangat mendidik manusia menjadi jujur dan amanah. Hal itu adalah kerana pelaksanaan ibadah tidak dapat dibuktikan secara lahiriah melainkan dengan pengakuannya sendiri ataupun saksi yang melihatnya.
Ibadah solat ini hanya melibatkan manusia dengan Tuhan. Hanya Tuhan yang menjadi saksi akan perbuatannya itu. Ibadah yang lain contohnya zakat dapat dibuktikan secara lahir kerana melibatkan hubungan di antara manusia. Tetapi solat menguji kejujuran manusia dengan Tuhannya. Solat melatih manusia berlaku amanah pada dirinya dan Tuhannya.
Rasulullah ﷺ bersabda: “Ihsan itu ialah kamu beribadat (menyembah Allah) seolah-olah kamu melihat-Nya sekiranya kamu tidak dapat melihat-Nya, maka (yakinlah) Allah tetap melihatmu.” (Muslim)
Orang yang tetap mengerjakan solat baik di tempat ramai mahupun sendirian ertinya ia jujur pada dirinya dan Allah. Orang yang seperti itu jika mengendalikan sesuatu kerja insyaAllah akan bertindak jujur dan amanah kerana telah dididik melalui solat. Kerana itu jika semua yang terlibat dalam pekerjaan itu amanah, tentu akan menguntungkan perusahaan di samping dapat meningkatkan keyakinan masyarakat.
4. Taat pada pemimpin
Taat yang penuh pada perintah ketua adalah aspek yang sangat perlu dititikberatkan di dalam Islam. Jika pekerja tidak faham atau tidak dapat mentaati perintah majikannya, sudah tentu akan terjadi huru hara dan merugikan. Terlebih lagi jika perusahaan memiliki pekerja yang ramai di mana masing-masing mengikuti pendapat sendiri tanpa mentaati arahan ketuanya. Hal itu sangat membahayakan kedudukan sesebuah perusahaan.
Dalam konteks negara, rakyat wajib mentaati imam atau pemerintah.
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِى شَىۡءٍ۬ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِۚ ذَٲلِكَ خَيۡرٌ۬ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلاً
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (An-Nisaa' 4:59)
Ibadah solat itu sendiri merupakan disiplin untuk melatih manusia supaya taat pada pemimpin terutama melalui solat berjemaah.
Di dalam solat berjemaah makmum wajib memulai dengan memasang niat mengikuti imam. Dia juga mesti berada di belakang imam. Tidak boleh berada sebaris atau di hadapan imam. Gerakannya tidak boleh sama atau mendahului imam. Malah mesti setelah gerakan imam. Suaranya juga tidak boleh melebihi suara imam. Jika hal itu terjadi maka tidak sah solatnya. Itu bererti solat jemaah mendisiplinkan hati, akal dan fizikal untuk taat kepada pemimpin.
Makmum tidak boleh bergerak sesuka hati tanpa merujuk kepada imam. Jika disiplin itu telah mendarah daging maka secara otomatik kita akan terdidik untuk mentaati ketua di mana saja kita berada dalam tindakan apapun selama tidak bertentangan dengan syariat.
Disiplin solat jemaah juga menitikberatkan soal kelurusan barisan atau saf. Bukan sahaja lurus, tetapi perlu rapat. Imam perlu memastikan saf lurus dan rapat sebelum mula mengangkat takbir. Segalanya mempunyai hikmah. Apabila di dalam solat saf boleh lurus dan rapat, moga diluar solat juga dapat mengeratkan kasih sayang dan perpaduan.
Kerana itu imam amat perlu berhati-hati dalam mengimami solat, jangan sampai saf bengkang bengkok dan renggang seperti yang berlaku hari ini. Tidak hairanlah di luar solat umat kini bengkang bengkok amalannya dan renggang ukhwahnya.
Dalam solat juga, makmum boleh bermufaraqah (keluar dari mengikuti imam) jika jelas solat imam itu telah terbatal. Makmum boleh mengingatkan imam ketika imam terlupa rukun atau bacaan. Imam juga boleh diganti oleh orang yang di belakangnya jika telah terbatal solat.
Demikian realiti yang ditunjukkan Rasulullah ﷺ. Ibn Umar. r.a. berkata: Bersabda Rasulullah ﷺ: Seorang muslim wajib mendengar, taat pada pemerintahnya dalam apa yang disetujui atau tidak disetujui kecuali jika diperintah (paksaan) maksiat. Maka apabila disuruh maksiat, maka tidak wajib mendengar dan tidak wajib taat. (Bukhari dan Muslim)
Alangkah beruntungnya seorang majikan atau pemimpin jika semua pekerjanya atau rakyatnya memahami dan mentaatinya. Ini tentu mengurangi masalah dan dapat meningkatkan prestasi perusahaan atau negara tersebut.
5. Fokus dalam segala urusan
Perkara penting yang dituntut dalam solat adalah khusyuk. Khusyuk berlaku apabila hati fokus kepada Allah. Sepanjang solat sentiasa merasai diri di perhatikan Allah. Rasa hamba, sedar diri sedang menyembah Tuhannya. Apa erti solat jika tidak merasa menyembah Allah. Apa erti ibadah jika tiada rasa kehambaan. Segala ingatan, perasaan dan perbuatan dalam solat hanya tertumpu kepada Allah SWT semata-mata.
Jika khusyuk ini dapat dibawa hingga ke luar solat, segala pekerjaan dan perbuatan akan terkawal. Akan fokus, tidak terkeluar dari landasan dan matlamat. Orang yang fokus kepada pekerjaannya pasti dapat menyiapkan kerja yang bermutu dalam waktunya.
6. Tahan dalam menghadapi ujian
Apabila manusia berhasil menunaikan solat dan tuntutannya yang sangat berat itu, bererti seseorang itu telah berjaya melepasi tiga tuntutan iaitu berat menunaikan solat, mengikuti displin di dalam solat serta melaksanakan tuntutan serta janji di dalam solat. Bila setiap hari seseorang berusaha untuk melaksanakan ibadah itu, bererti setiap hari dia perlu bergelut dengan cabaran hawa nafsu. Proses ini akan membantu menguatkan jiwa manusia dan menyediakan manusia untuk berhadapan dengan ujian.
Dengan mengerjakan solat secara istiqamah, sekaligus dapat membentuk jiwa manusia menjadi tahan terutama apabila berhadapan dengan cabaran hidup lahir dan batin. Apabila ia terjun dalam kehidupan seharian yang memang penuh dengan cabaran maka asas disiplin yang telah terbentuk dari solat itu akan membantunya mengatasi dan melepaskan segala ujian dan cabaran yang dihadapi.
Begitulah asas-asas disiplin yang lahir dari mengerjakan ibadah solat. Apabila umat Islam mengerjakan solat, maka akan lahirlah disiplin. Apabia umat berdisiplin, maka akan tercetus kemajuan. Umat Islam memang beruntung kerana agama Islam mendorong umatnya membuat kemajuan. Hal itu sesuai dengan fitrah manusia yang menginginkan kemajuan. Bagi orang bukan Islam, kemajuan yang mereka rasakan hanyalah berdasarkan dorongan fitrah semata.
Oleh itu umat Islam sepatutnya lebih maju lagi kerana didorong oleh dua faktor tadi. Kerana Islam tabiatnya adalah mendorong kemajuan maka apabila diamalkan akan tercetus kemajuan dalam kehidupan. Jika umat Islam tidak maju maka yang pertama perlu diperiksa adalah solatnya. Kerana solat adalah ibadah asas yang utama, maka solat juga merupakan sebab segala kejayaan di dunia dan akhirat. Orang yang mengerjakan solat dan berpegang teguh pada disiplin-disiplinnya insyaAllah akan mendapat kejayaan di dalam bidang apapun yang diceburinya.
Hal itu sesuai dengan janji Allah yang berbunyi,
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ
"Sesungguhnya kemenangan bagi orang mukmin yang khusyuk di dalam solat." (Al Mukminun:23:1-2)
Kemenangan yang dimaksud adalah kejayaan dunia dan akhirat. Anak kunci kejayaan telah tersedia. Inilah peluang untuk kita merebutnya. Oleh itu marilah sama-sama memahami, melaksanakan dan mengemaskan solat serta tuntutannya untuk menjamin kejayaan hidup dunia dan akhirat.
Sumber
https://www.facebook.com/notes/mohd-fadli-yusof/solat-sebagai-asas-disiplin-hidup/10150158735951719/
0 komentar:
Posting Komentar